RajaBio Minyak Kelapa Dara ditawarkan kepada pengguna pada harga RM40 sebotol. Di Bandar Baru Bangi, anda boleh mendapatkannya di Kedai 24 Jam Imart; eksklusif di kedai tersebut sahaja.

Tuesday 7 February 2012

Skim 1Care for 1Malaysia: Versi Singapura

Kredit gambar: The Star Online

Parlimen akan kembali bersidang pada 12 Mac dan 23 April 2012 - 10 Mei 2012 ini, dan rang undang-undang berkenaan Skim 1Care for 1Malaysia dijangka dibentangkan untuk perbahasan dan kelulusan. Di seberang Tambak Johor, negara jiran sebenarnya telah lama melaksanakan transformasi terhadap sistem perkhidmatan kesihatan mereka. Berikut merupakan cuplikan daripada kertas tugasan SRB pada tahun lepas tentang tema tertentu tetapi turut merangkumi sistem perkhidmatan kesihatan Singapura. Sekiranya ada fakta yang lebih kemas kini, sukacita dapat dimaklumkan kepada SRB untuk pindaan.

3.2.2           Penswastaan Institusi Kebajikan Seperti Perkhidmatan Kesihatan

Kerajaan telah memperkenalkan National Health Plan (NHP) pada Februari 1983 bermatlamatkan serampang dua mata iaitu memindahkan beban penjagaan kesihatan daripada kerajaan kepada individu dan majikan mereka, dan pengkorporatan hospital kerajaan.  Menerusi NHP, perkhidmatan kesihatan percuma yang dinikmati sebelumnya oleh rakyat Singapura dimansuhkan.  Sebaliknya, mereka wajib mencarum dalam skim Medisave yang diperkenalkan pada tahun 1984.  Caruman sebanyak 7 hingga 9.5 peratus (bergantung kepada peningkatan usia) dimasukkan ke dalam akaun Medisave masing-masing yang turut dikendalikan oleh CPF.  Wang yang tersimpan di CPF ini boleh dikeluarkan pada jumlah tertentu berdasarkan jenis rawatan untuk bayaran perkhidmatan kesihatan diri dan ahli keluarga. 

Satu lagi skim kesihatan ialah MediShield yang diperkenalkan pada tahun 1990 bertujuan membantu ahli yang dimasukkan ke hospital akibat kesakitan serius untuk membayar kos rawatan yang tidak mampu ditampung menggunakan akaun Medisave.  Walaupun rakyat Singapura secara automatik akan diinsuranskan di bawah MediShield apabila mereka mencarum pertama kali dengan CPF, mereka diberi pilihan sama terus mencarum untuk MediShield atau sebaliknya.  Seperti juga Medisave, kadar caruman tertakluk kepada kategori wad yang diingini apabila mendapatkan rawatan; wad Kelas A memerlukan caruman paling tinggi jika dibandingkan dengan caruman terendah untuk wad Kelas C.

Bagi golongan yang masih tidak mampu membayar bil hospital walaupun mengeluarkan caruman daripada akaun Medisave dan MediShield, kerajaan akan membantu mereka menerusi skim Medifund yang ditubuhkan pada April 1993 dengan dana permulaan S$200 juta.  Setiap kali Belanjawan Negara mencatatkan lebihan, maka sejumlah dana dari lebihan tersebut akan disuntik ke dalam skim Medisave. 

Pemotongan gaji bagi tujuan caruman skim kesihatan tersebut dilihat membebankan rakyat Singapura terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana kerana tidak banyak baki gaji bulanan dapat digunakan untuk keperluan hidup yang lain.  Selain itu, had pengeluaran yang terlalu kecil bagi akaun Medisave misalnya S$300 setahun untuk rawatan pesakit luar bagi penyakit kronik seperti asma dan kencing manis tidak memadai berbanding kos rawatan yang mahal.  Bererti, mereka masih perlu menggunakan wang tunai dari akaun simpanan di bank kerana skim kesihatan seperti Medisave dan MediShield tidak menanggung keseluruhan kos rawatan.  Pada masa yang sama, terdapat kecenderungan di kalangan ahli mencarum lebih berbanding kemampuan kewangan mereka yang sebenar.  Kajian oleh Lim Meng Kian (1998) mendapati bahawa di kalangan mereka yang menggunakan Medisave untuk membiayai kemasukan ke Wad Kelas A, 24 peratus memiliki pendapatan bulanan yang sekadar cukup untuk membayar 40 peratus daripada amaun keseluruhan bil hospital. 

Rujukan: 


Lim, Meng Kian. 1998. Health care systems in transition ii. Singapore, part i: an overview of health care systems in Singapore. Journal of Public Health Medicine.


Ministry of Health Singapore.
Parlimen Malaysia.
Silalah tekan "Like" kalau suka, ;-) www.tips-fb.com

No comments: